MARA MEMERIAHKAN SAMBUTAN 50 TAHUN KKLW

YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak, Perdana Menteri menerima cenderahati daripada MARA di tapak pameran MARA bersempena Sambutan 50 tahun KKLW pada 20 Mac 2010 bertempat di Dataran Lipis, Kuala Lipis, Pahang.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah telah mengadakan Sambutan 50 Tahun di Dataran Lipis, Kuala Lipis, Pahang. MARA selaku agensi di bawah kementerian turut terlibat dalam menjayakan sambutan ini serta bersama-sama meraikan sambutan yang gilang gemilang ini.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak, Perdana Menteri  telah merasmikan sambutan ini pada 20 Mac 2010. Lokasi di Kuala Lipis ini turut mencetus nostalgia apabila Perdana Menteri berpeluang melawat tempat kelahirannya di Bukit Bius di sini. 

Pada majlis itu, YAB juga telah melancarkan Coffee Table Book: “Membangun Luar Bandar Satu Komitmen Berterusan” yang menceritakan sejarah 50 tahun pembangunan luar bandar. Jenama baru KKLW iaitu “Kampungku” juga diperkenalkan bagi menggantikan jenama “Gerak Desa Wawasan” bagi mendekatkan lagi KKLW itu dengan masyarakat desa. 

Sambutan yang berlangsung selama tiga hari menyajikan pengunjung dengan gerai pameran jabatan serta agensi di bawah KKLW serta produk usahawan luar bandar.

Sepanjang sambutan ini, MARA turut mengadakan beberapa program berbentuk keusahawanan dan pendidikan. Melalui pameran pendidikan, beberapa Institusi Pendidikan MARA (IPMa) telah mengambil bahagian antaranya ialah UNiKL, GMI, KPTM dan IKM/ KKTM. Peluang ini digunakan bagi menyebarkan maklumat mengenai peluang pendidikan dan latihan kemahiran kepada kumpulan sasaran khususnya pelajar lepasan SPM dan golongan belia melalui khidmat runding cara kerjaya dan seterusnya pendaftaran terbuka kemasukan ke IPMa bagi mereka yang berminat.

Selain itu, Seminar Peluang Pendidikan di IPMa juga berlangsung serentak dengan sambutan ulang tahun KKLW selama dua hari mulai 20 hingga 21 Mac 2010 bertempat di Dewan Sek. Men. Keb. Clifford, Kuala Lipis. Seminar telah dimulakan dengan Sesi Bersama YB Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri merangkap residen ANSARA.

Menerusi sesi tersebut, beliau telah berkongsi pengalaman serta tips mencapai kejayaan dalam akademik dan kerjaya dengan 200 orang pelajar dan kaunselor dari 25 buah sekolah menengah sekitar daerah Bentong, Raub dan Lipis. Selain itu, pelajarpelajar yang menyertai seminar tersebut telah berpeluang berdialog dengan YB Dato’ Mukhriz tentang bidang kerjaya yang mempunyai nilai kebolehpasaran serta isu semasa.

Pada sebelah malam pula, Yayasan Pelajaran MARA menganjurkan ceramah motivasi. Antara fokus perbincangan adalah mengenai tanggungjawab pelajar terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Pada hari terakhir pula, MARA turut mengadakan ceramah mengenai peluang pendidikan di bawah MARA kepada pelajar lepasan SPM di daerah Kuala Lipis.

 Galeri Foto

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.