KARNIVAL KERJAYA MARA 2010

Karnival Kerjaya MARA bersempena Karnival Pendidikan MARA Peringkat Kebangsaan telah diadakan di PWTC pada 12 hingga 14 Mac 2010 yang lalu. Karnival Kerjaya ini julung kali diadakan rentetan daripada usaha Pusat Sumber Kerjaya MARA yang ditubuhkan pada tahun lepas. Inisiatif ini diambil bagi memberi peluang dan laluan kerjaya kepada para pelajar lepasan IPMa dan tajaan MARA untuk merebut peluang kerjaya yang ditawarkan oleh syarikat dan industri.

Melalui Karnival Kerjaya ini, Pusat Sumber Kerjaya (PSK) berpeluang menguar-uarkan tentang kewujudan dan peranannya kepada kumpulan sasaran. PSK telah berjaya menambah jumlah keahlian berdaftar sehingga kini mencecah seramai 3000 orang ahli. Ini akan memudahkan PSK untuk membuat kajian pengesanan pelajar bagi mendapatkan maklumat tentang hala tuju kerjaya dan seterusnya merangka gerak kerja bagi memenuhi keperluan dan kemudahan ahli.

Walaupun karnival seumpama ini pertama kali dilaksanakan, namun sambutan daripada para pengunjung amat menggalakkan dan di luar jangkaan. Begitu juga, kerjasama dan sokongan jitu diberikan oleh syarikat konglomerat dan multinasional yang terlibat, seperti Perodua, Proton, Intel Malaysia, Sony EMCS (Malaysia) Sdn. Bhd, Celcom Axiata Berhad, GCH Retail(M) Sdn. Bhd, Public Mutual Bhd, Mesiniaga Berhad, Naza Group, Power Technologies Sdn. Bhd dan sebagainya. Justeru, dengan penyertaan daripada syarikat-syarikat, ia telah memberi peluang kepada para pengunjung mendekati dan menerokai peluang kerjaya mengikut minat dan pilihan mereka. Selain itu, orang awam juga berpeluang mengikuti ceramah secara percuma mengenai tatacara penulisan resume, persediaan menghadapi temu duga dan grooming etiquette yang ternyata amat penting untuk diberi perhatian dalam usaha pencarian kerjaya. Beberapa syarikat juga telah mengambil bahagian dalam memberi taklimat dan ceramah berkaitan peluang kerjaya dan ekspektasi syarikat masingmasing. Secara umumnya para pengunjung dan peserta telah memberi maklum balas positif dan diharapkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai industri pada tahun hadapan.

Galeri Foto

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.