SPM 2009: MRSM TETAP UNGGUL

Dari kiri, Muhammad Amal Aiman Mohd Yusof (MRSM Pengkalan Chepa), Nurul Syazwani Rihaizat (MRSM Taiping), Nurrawaida Husna Hamzah (MRSM Pengkalan Chepa), Mariana nabila Ahmad Zuber (MRSM Pengkalan Chepa) dan Azizi Omar (MRSM Tun Ghafar baba) menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (terbaik) SPM 2009 di Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MARA 2010 Peringkat Kebangsaan di PWTC, Kuala Lumpur pada 12 Mac 2010.

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sekali lagi telah berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009. Pada tahun ini seramai 6638 orang pelajar Tingkatan Lima dari 36 buah MRSM telah menduduki peperiksaan tersebut. Kesemua 36 buah MRSM telah berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dengan mencapai 100% lulus.Mulai SPM tahun 2009, Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan sistem penggredan baru yang melibatkan penambahan Gred A+ yang lebih tinggi nilainya dari gred tertinggi sedia ada 1A.

 

MRSM cemerlang mengikut pencapaian Gred Purata Maktab (GPM)

Nilai Gred Purata Maktab (GPM) untuk keseluruhan MRSM dalam peperiksaan SPM 2009 ialah 1.8041. Sembilan buah MRSM berjaya mendapat GPM kurang daripada 1.75. MRSM Taiping merupakan MRSM terbaik dengan mencapai Gred Purata Maktab (GPM) 1.1052. Lapan buah MRSM yang lain pula mencatat keputusan cemerlang dengan mendapat GPM di bawah 1.75 iaitu MRSM Tun Ghafar Baba 1.1247, MRSM Pengkalan Chepa 1.1911, MRSM Alor Gajah 1.4648, MRSM Pengkalan Hulu 1.6062, MRSM Pasir Salak 1.6241, MRSM Kuala Kubu Bharu 1.6570, MRSM Langkawi 1.7077 dan MRSM Batu Pahat mendapat GPM 1.7135.

Pencapaian Cemerlang Mendapat A+, A atau A

Pada tahun ini bilangan pelajar yang mencapai kecemerlangan dengan mendapat gred A+, A atau A- bagi semua subjek yang diambil adalah seramai 1223 orang pelajar (18.42%). Ini adalah lebih baik berbanding SPM 2008 dimana hanya seramai 1079 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu menunjukkan peningkatan 4.23%. Seramai 385 orang (5.80%) pelajar MRSM telah mencapai prestasi cemerlang dengan mendapat A+ atau A bagi semua subjek yang diambil. MARA turut berbangga kerana 26 orang pelajar (0.39%) MRSM telah berjaya mendapat pencapaian cemerlang tertinggi iaitu memperoleh A+ bagi semua subjek yang telah diambil.

Prestasi Mengikut Subjek

Peperiksaan SPM kali ini turut menunjukkan peningkatan dalam beberapa subjek. Lima subjek telah mencatat keputusan cemerlang iaitu lebih daripada 95% pelajar telah mendapat gred A+, A atau A-. Subjek-subjek tersebut ialah Bahasa Melayu (97.50%), Pendidikan Islam (97.80%), Matematik (98.64%), Pendidikan Seni Visual (99.10%) dan Reka Cipta (99.24%). Pada keseluruhannya, pencapaian MRSM dalam peperiksaan SPM 2009 adalah amat cemerlang. Gred Purata Maktab (GPM) yang dicapai pada tahun ini adalah 1.8041 dan sembilan buah MRSM telah menunjukkan keputusan yang amat cemerlang dengan memperoleh Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada atau sama dengan 1.75. Kecemerlangan pelajar-pelajar MRSM yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran pelbagai bidang serta menghayati nilai-nilai murni akan menyumbang kepada pembangunan modal insan seperti yang dihasratkan oleh negara. Sistem pendidikan MRSM akan terus menjadi pemacu dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai minda kelas pertama.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.