PIDATO YABhg. TUN DR. MAHATHIR MENUTUP TIRAI SAMBUTAN ULANG TAHUN MARA KE-44

YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4 ketika Majlis Pidato Perdana bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-44 pada 16 April 2010 bertempat di ruang legar ibu pejabat MARA.

Tanggal 1 Mac 2010, genaplah 44 tahun usia MARA. Sambutan ulang tahun ke-44 ni melambangkan imej kematangan yang terkandung dalam sanubarinya. Satu khazanah pengalaman, meletakkannya sebagai sebuahagensi kerajaan yang berkembang sejajar dengan pembangunan negara dengan kredibiliti serta nilai integriti yang tinggi.

Sempena sambutan ini, pelbagai program dan pengisian telah dilaksanakan bagi menghidupkan semangat dan roh perjuangan MARA. Antaranya ialah Majlis Kesyukuran serta Pelancaran Sambutan oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi MARA. Ia dituruti dengan beberapa program lain seperti Pameran Sejarah RIDA-MARA, Sukan Dalaman MARA dan juga Program Derma Darah. Pada sambutan kali ini juga, Majlis Pengkisahan Tokoh Sejarah MARA turut julung kali diadakan di mana dua orang sejarawan negara iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Datuk Profesor Dr. Hajah Ramlah Adam telah mengupas sejarah mengenai sumbangan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan Allahyarham Tun Abdul Razak kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera serta penubuhan MARA secara khususnya.

Selanjutnya, acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun MARA dimeriahkan dengan Majlis Pidato Perdana bersama YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4. Kehadiran YABhg. Tun ke Majlis Pidato Perdana ini mengimbau nostalgia silam kerana pada tanggal 12 April 1987, beliau selaku Perdana Menteri pada ketika itu, telah merasmikan Bangunan Ibu Pejabat MARA. Setelah 23 tahun empat hari, Tun kembali buat kali keduanya ke bangunan yang sama untuk menyampai Pidato Perdana dengan tajuk “MARA Menggalas Amanah Bumiputera”.

Dalam ucapannya, beliau telah memberikan penekanan, “Menyalahkan orang lain atas kelemahan kita tidak akan menjayakan kita, tetapi analisislah sikap kita yang menyumbang kepada kegagalan kita. Maju atau mundur hidup seseorang bergantung kepada nilai hidup yang diamalkan. Orang Melayu berbangga dengan bantuan dan pertolongan yang diberikan kepada mereka dan menganggap bantuan dan pertolongan ini sebagai hak mereka.” “Bantuan dan pertolongan ini tidak boleh dibanggakan, lebih baik berdiri sendiri. Bantuan adalah seperti tongkat yang hanya diperlukan semasa kita lemah dengan harapan membantu ketika kita tidak kuat dan lemah. Selepas kuat, tongkat perlu digugurkan kerana itu lebih mulia dari kejayaan yang dicapai melalui bantuan. Apabila sudah kuat atau pandai dan mampu mempertahankan diri tanpa bantuan maka ketika itu boleh berbangga dengan diri sendiri serta boleh menganggap diri sebagai ‘tuan’,” pesan beliau seterusnya. “Jika kita ingin mengejar seseorang yang berada di depan maka kita harus berlari dengan lebih pantas untuk membolehkan kita menangkap orang yang di hadapan. MARA mesti menggalas amanah Bumiputera tetapi Bumiputera juga perlu amanah menerima apa yang telah MARA berikan kepada mereka,” ujarnya lagi. Semoga dengan kata-kata yang lahir daripada seorang negarawan terbilang ini, akan terus menyemarakkan api perjuangan warga MARA seiring dengan kematangan MARA yang kini meniti usia ke-44 tahun dalam meneruskan agenda pembinaan negara bangsa.

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku

kerana masa depan belum tentu

menjanjikan syurga

bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai

kerana hanya yang cekal dan tabah

dapat membina mercu tanda

bangsanya yang berjaya

Tun Dr. Mahathir Mohamad

(Petikan sajak “Perjuangan Belum Selesai” di

Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)

Galeri Foto

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.