KOLABORASI STRATEGIK ANTARA MARA DENGAN NADI DALAM INDUSRI AEROANGKASA DAN PERTAHANAN

Langkawi, 6 Disember: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) menjalin kolaborasi strategik dalam bidang industri aeroangkasa dan pertahanan yang dimeterai pada hari ini sempena perasmian Langkawi International Maritime and Aerospace’ (LIMA) disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

 

Kolaborasi strategik ini ditandatangani oleh Ketua Pengarah, YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad bagi pihak MARA manakala Pengerusi Eksekutif Kumpulan, YBhg. Tan Sri Dato’ Ahmad bin Johan bagi pihak NADI.

 

Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad dalam kenyataan akhbar berkata:

 

“Usaha sama ini bertujuan untuk melahirkan modal insan yang mampu menjana kekayaan di samping meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir yang kompeten selari dengan falsafah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

 

Modal insan profesional yang dilahirkan ini adalah berasaskan keperluan industri yang mampu mewujudkan landasan kerjaya yang berpendapatan dan berpotensi tinggi. Melalui kolaborasi strategik ini, MARA dan NADI akan bekerjasama untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir Bumiputera dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih (MRO), pembuatan dalam industri aeroangkasa serta pertahanan.

 

Usaha ini juga membolehkan MARA dan NADI untuk meneroka peluang perniagaan dalam MRO serta pembuatan dan seterusnya membangunkan model perniagaan yang berdaya maju dan menguntungkan selain menjayakan matlamat untuk memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih kukuh dalam industri ini. Pasaran MRO sahaja dianggarkan bernilai RM 208 bilion menjelang tahun 2020. 

 

Bagi tujuan tersebut, MARA dan NADI akan melengkapi kepakaran antara satu sama lain dengan matlamat membangunkan tahap profesional Bumiputera dalam industri ini dan pada masa yang sama, MARA akan turut melengkapi sebahagian besar keperluan industri yang keseluruhannya memerlukan seramai 3000 hingga 5000 orang tenaga mahir dalam tempoh (5) tahun.

 

MARA, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah akan turut merangka strategi pembangunan program latihan  pendidikan teknikal dan vokasional berteraskan “niche area” sejajar dengan keperluan industri.  Pendekatan ini berbeza berbanding sebelum ini yang hanya dibentuk melalui kaedah umum dan generik demi menghasilkan graduan yang mempunyai nilai keterbezaan yang unggul untuk melahirkan modal insan yang kompeten, berkualiti, inovatif dan kreatif bagi memacu transformasi Negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

 

Strategi ini juga adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengarusperdanakan dan mengembangkan  latihan vokasional dan teknikal di Malaysia dan Latihan Kemahiran MARA akan menjadi penyumbang yang terbesar dalam perubahan sistem pendidikan yang berlaku ini dan selaras dengan Pelan Strategik MARA 2011-2015 yang bermatlamat untuk melahirkan global oriented marketable workforce seramai 175,000 guna tenaga dalam bidang ini.

 

 

Industri penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih (MRO) aeroangkasa

 

Dalam jangka masa lima (5) tahun MARA akan melahirkan seramai 3450 pelajar kursus Aircraft Maintenance Technology, Aircraft Engineering Technology (Avionic) dan Avionic Maintenance di Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mana kursus ini adalah berkaitan dengan bidang MRO.

 

Melalui kolaborasi strategik ini, MARA akan menambahbaik modul kursus dan latihan sedia ada serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan program bagi membolehkan pelajar mengikuti latihan industri ke NADI Group of Companies bagi menepati kebolehpasaran tenaga mahir dalam industri ini.

 

Pelajar juga berpeluang untuk bekerja di NADI Group of Companies setelah menamatkan latihan bagi menampung keperluan industri yang berkembang pesat serta memerlukan 3000 orang tenaga mahir menjelang 2015.

 

Bidang pembuatan dalam industri aeroangkasa

 

Dalam tempoh tersebut juga, MARA akan melahirkan seramai 1400 pelajar dalam bidang Composite Manufacturing, Manufacturing Technology, Mechanical Project Design, Metal Fabrication Technology serta Machine Tools Manufacturing di UniKL MIAT, UniKL Malaysian Spanish Institute (MSI), UniKL Malaysian France Institute (MFI), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) serta Institut Kemahiran MARA (IKM).

 

Kesemua kursus ini merupakan modul asas kepada bidang pembuatan dalam industri aeroangkasa. Fokus latihan untuk membangunkan profesional Bumiputera dalam bidang ini di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) akan turut mengguna pakai teknologi serta kepakaran yang ditawarkan oleh NADI Group of Companies selaras dengan matlamat menjanjikan landasan kerjaya yang berprofil tinggi kepada pelajar.

 

Para pelajar turut menikmati kemudahan latihan industri di NADI yang merupakan antara pemain utama bidang tersebut di rantau ini dan seterusnya mereka juga berpeluang untuk bekerja di NADI Group of Companies setelah menamatkan pengajian yang mana bidang ini memerlukan seramai 1000 hingga 1500 tenaga kerja mahir dalam jangka masa lima (5) tahun akan datang.   

 

Bidang pembuatan senjata

 

MARA melalui German-Malaysian Institute (GMI) dan KKTM pula dijangka melahirkan seramai 600 orang graduan dalam bidang CNC Precision Technology yang mana kursus ini adalah asas kepada teknologi pembuatan senjata.

 

Jumlah ini bakal menampung keperluan tenaga mahir dalam industri ini pada 2015.  MARA seterusnya akan menambah bilangan pelatih kursus ini dalam memenuhi permintaan bilangan tenaga mahir dalam industri pada masa akan datang”.

About these ads
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.