MAJLIS PERASMIAN KAMPUS KPTM-KESEDAR

GUA MUSANG, 23 Jun 2011 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) terus melakar kecemerlangan dari semasa ke semasa dan selepas penubuhan Kampus Cawangan yang ke-lapan di Semporna, Sabah, KPTM terus bergerak proaktif dalam melebarkan sayapnya dan kini Gua Musang menjadi lokasi ke-sembilan penubuhan Kampus Cawangan KPTM yang diberi nama Kampus KPTM-KESEDAR.

Majlis Perasmian Kampus KPTM-KESEDAR  ini disempurnakan oleh YB Dato’ Hasan bin Malek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mewakili YB Menteri KKLW. Turut hadir sama, YBhg. Dato’ Ramzi bin Ab. Rahman, Pengerusi KESEDAR, YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA dan YBhg. Dato’ Sohaimi Shahadan, Pengerusi KPTM.

 

KPTM yang terdiri daripada lapan (8) buah kampus setakat ini mempunyai enrolmen pelajar menjangkau 14,000 orang pelajar, merupakan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

 

Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam bidang pendidikan bumiputera yang dipelopori selama 28 tahun, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) kini memiliki lapan buah kampus di seluruh negara iaitu  Kuala Lumpur, Bangi, Kuantan, Kota Bharu, Alor Setar, Ipoh, Batu Pahat dan Semporna. KPTM-KESEDAR yang terletak di Jajahan Gua Musang ini merupakan kampus cawangan kedua KPTM yang beroperasi di kawasan luar bandar selepas Semporna, Sabah yang ditubuhkan pada tahun 2010.

 

Penubuhan ini adalah merupakan pembaharuan yang dibawa oleh KPTM dan berbeza dengan IPT lain yang mana KPTM kini memilih kawasan luar Bandar untuk kali kedua selepas Semporna Sabah untuk memberi kemudahan pendidikan kepada anak-anak di kawasan ini apabila tamat persekolahan.

 

Ini membuktikan kesungguhan KPTM dalam meluaskan akses kepada penduduk luar bandar untuk menikmati peluang pendidikan tinggi tanpa perlu berhijrah ke kota-kota besar.

 

Bakal graduan KPTM-KESEDAR nanti diharap dapat memberi sumbangan kepada kawasan setempat terutamanya dalam membangunkan daerah Gua Musang dan sekitarnya yang kaya dengan sumber alam semulajadi.

 

Gabungan MARA, KESEDAR dan KPTM melalui KPTM-KESEDAR ini merupakan satu lagi inovasi  KKLW yang diyakini boleh membangunkan Wilayah Kelantan Selatan terutamanya Jajahan Gua Musang sepertimana aspirasi kerajaan di bawah dasar Model Ekonomi Baru untuk mewujudkan masyarakat berilmu dan berkemahiran ke arah mencapai tahap penduduk berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

 

KESEDAR pula yang diwujudkan bertujuan mengimbangi pembangunan antara wilayah di negeri Kelantan, sememangnya berkepakaran dalam mengenalpasti peluang-peluang yang boleh dieksploitasi di kawasan Kelantan Selatan ini. 

Dengan lebih ramai anak-anak muda yang berpendidikan tinggi, akan wujudlah usahawan-usahawan baru yang bakal menerajui pelbagai bidang ekonomi dan seterusnya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.

 

Pengerusi KPTM, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata penubuhan cawangan KPTM Gua Musang (Kelantan) ini, merupakan sahutan kepada seruan kerajaan dan juga Kementerian untuk memperkasakan pembangunan modal insan luar Bandar dan usahasama ini diharap akan meluaskan lagi peluang pendidikan kepada penduduk Kelantan dan kawasan sekitar Pantai Timur ini”.

 

Ia juga sebagai salah satu cara untuk mengimbangi keperluan pendidikan di bandar dan luar bandar,” katanya. Dengan adanya pendidikan yang disediakan oleh KPTM disini, ia merupakan satu mekanisma tulen untuk membasmi kemiskinan, lantas akan menaiktaraf kehidupan individu dan keluarga.

 

Sementara itu, Presiden KPTM, Dato’ Hj Yusoff Harun berkata, kolaborasi ini merupakan salah satu wadah bagi KPTM untuk mendekati masyarakat dengan memberi lebih banyak peluang dan ruang untuk mendapatkan pendidikan dan latihan berkualiti, berdasarkan hala tuju Pelan Transformasi dan sedikit sebanyak dapat merubah lanskap sosioekonomi penduduk di pedesaan, berpaksikan Model Ekonomi Baru.

 

KPTM-KESEDAR menawarkan :-

  1. Diploma in Entrepreneurship
  2. Diploma in Human Resource Mgt
  3. Diploma in Hospitality
  4. Diploma in Eco Tourism
  5. Diploma in Post-Management

 

Penubuhan Kolej Poly-Tech MARA KESEDAR (KPTM-KESEDAR) ini merupakan enjin transformasi bagi mendokong iltizam KKLW dalam membangunkan masyarakat luar bandar.

About these ads
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.